Membela kucing boleh memberikan kesan
negatif kepada kehamilan kerana keadaan ini berkait rapat dengan
sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii.
Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan
peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda
perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari
segi pengendalian najis kucing.
Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan. Keadaan
ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali
sebagai toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati
di dalam najisnya dan juga dalam tanah.
PARASIT KUCING |
Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu
toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh
menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan.
Ini boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi
kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit
toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak
memberikan tanda yang ketara.
Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu dialami
buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak
mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan petanda
luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.
Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema
biasa, kelenjar limfa membengkak, sakit otot, kekejangan dan sakit
sendi. Gejala sebegini selalu dianggap 'keadaan biasa' oleh ibu hamil
dan doktor yang merawatnya.
Proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan
peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau dalam dunia perubatan
digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toksoplasma yang
menyerang jaringan saraf manusia.
KEADAAN BAYI AKIBAT JANGKITAN VIRUS KUCING |
Menjangkiti bayiSeorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau
semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Toksoplasmosis
kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi dalam kandungan
dijangkiti melalui uri (plasenta).
Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis
ketika mengandung, bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati
dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk 'retardasi
mental'.
Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta
najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita
mengendalikan daging mentah atau separuh masak.
Peringatan
Sebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil dan
berusaha untuk hamil, anda perlu mengehadkan masa bersama haiwan atau
pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis haiwan ini boleh dilakukan
oleh suami atau orang lain.
Dengan cara ini moga anda dapat mengelak risiko jangkitan kali pertama
ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi
toksoplasmosis kongenital.
Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis
aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi
yang mengesahkan jangkitan ini. Jika ibu disahkan mendapat jangkitan,
ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan
dilakukan ke atas bayi dalam kandungan.
Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar
gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan.
Rawatan
Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan. Sebaliknya, jika
bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik
khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50
peratus.
Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan
toksoplasmosis haruslah diuji agar tidak mempunyai sebarang gejala
semasa dilahirkan dan terus diberi rawatan.
Langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia
berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan
makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna
dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak
perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa
berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan
daripada menyentuh najis kucing.
Elakkanlah membela kucing semasa hamil sekiranya langkah ini sukar dilakukan.
No comments:
Post a Comment